:::PAUTAN:::

Photobucket

:::HADITH BUAT PANDUAN:::

Wednesday, March 5, 2008

DAKWAH KHULAFA AL-RASYIDDIN (A120811)

1. LATAR BELAKANG KHULAFA’ AL-RASYIDIN

Perkataan khulafa’ adalah jamak dari perkataan khalifah yang membawa maksud orang yang menggantikan (kedudukan) orang sebelumnya, orang yang menggantikan kedudukan orang lain; dan seseorang yang mengambil alih tempat orang lain sesudahnya dalam pelbagai persoalan. Khalifah dapat pula bererti as-Sultan al-A’zam (kekuasaan paling besar atau paling tinggi). Jawatan ini disandang oleh pemimpin-pemimpin Islam selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w. Al-Mawardi menggariskan tugas seorang khalifah ialah memelihara agama dan mentadbir dunia. Sementara itu, Ibn Khaldun menjelaskan tugas khalifah dengan lebih terperinci iaitu menegakkan agama dan mentadbir dunia mengikut hukum syariat untuk kebaikan di dunia dan di akhirat. Gelaran Khulafa’ al-Rasyidin adalah merujuk kepada empat orang sahabat Rasulullah yang pernah memerintah (sebagai pemimpin) umat Islam dari tahun 11 Hijrah atau 632 Masihi sehingga 40 Hijrah atau 661 Masihi iaitu kira-kira 29 tahun. Mereka terdiri daripada Abu Bakar al-Siddiq (632-634), Umar Al-Khattab (634-644), Uthman B. Affan (644-656) dan Ali B. Abi Talib (656-661). Sumbangan mereka terhadap Islam amatlah besar terutamanya dalam usaha untuk mengembalikan keyakinan umat Islam terhadap Islam setelah wafatnya Rasulullah s.a.w. ( Joesoef Souyb:1979)

Sebelum Rasulullah s.a.w wafat, baginda telah berjaya menunaikan dua tugas yang penting iaitu tugas sebagai pesuruh Allah, menyampaikan segala undang-undang dan syariatNya kepada umat manusia dan tugas sebagai pemimpin umat manusia dengan memberi panduan-panduan ke jalan yang benar dan menyelesaikan masalah-masalah mereka mengikut dasar-dasar yang telah ditetapkan oleh Allah. Tugas yang pertama telah selesai dengan wafatnya baginda. Tidak ada seorang pun selepas itu yang berhak menyampaikan undang-undang dan syariat baru selain daripada melaksanakan undang-undang itu. Tugas yang kedua ialah tugas memimpin umat Islam. Tugas inilah yang terpaksa dipikul dan dipertanggungjawabkan oleh khalifah dan pemimpin-pemimpin yang lain selepasnya. Rasulullah sendiri secara tegasnya tidak pernah menentu ataupun meninggalkan apa-apa wasiat tentang penggantinya (khalifah) sebagai pemimpin.
(Haji Dusuki:1974)
Di akhir zaman pemerintahan Khalifah Ali bin Abi Talib timbul beberapa teori dan pendapat tentang jawatan khalifah itu. Teori-teori ini berkembang dengan pesatnya bersama dengan kelahiran parti-parti politik di dalam masyarakat Islam pada waktu itu. Di permulaan lahirnya kerajaan Khulafa’ al-Rasyidin berlaku juga persilisihan pendapat antara orang Muhajirin dengan orang Ansar. Orang Muhajirin berpendapat bahawa jawatan khalifah hanya khusus bagi kabilah Rasulullah sahaja iaitu kabilah Quraisy, ini memudahkan kabilah-kabilah lain tunduk dan patuh kepada khalifah. Sekiranya pelantikan itu dilakukan kepada kabilah lain tidak kepada kabilah Quraisy, maka sudah tentu akan timbul penentangan, perlumbaan dan perebutan kuasa. Apa lagi kaum Quraisy adalah orang Muhajirin yang pertama percaya kepada Rasulullah dan orang yang pertama menanggung derita dan sabar dalam menghadapi penyeksaan orang Musyrikin Makkah.
(Haji Dusuki:1974)

Orang Ansar pula berpendapat bahawa mereka adalah golongan yang lebih layak memegang jawatan khalifah daripada orang muhajirin kerana mereka telak banyak membuat jasa yang cemerlang kepada Rasulullah dan sahabat-sahabatnya waktu kepayahan berpindah dan kesusahan di Madinah khususnya waktu mengembangkan Agama Islam . mereka juga menyokong Rasulullah dan mempertahankan Baginda daripada orang Musyrikin. (Haji Dusuki:1974)

Bagi meneruskan kesinambungan berdakwah, para sahabat khususnya Khulafa’ al-Rasyidin bertanggungjawab menanggung taklif ini setelah wafat Rasulullah s.a.w.

2. KHALIFAH ABU BAKAR AL-SIDDIQ (11-13H / 632-634M)

Nama sebenar Abu Bakar ialah Abdullah bin Abi Qahafah Attamimi yang berasal daripada puak Taym b. Murrah daripada suku Quraisyh.(Anwar Zainal Abidin & Wan Kamal Mujani:1999) Sebelum Islam beliau terkenal dengan nama Abdul Kaabah, tetapi kemudiannya dikenali dengan nama Abu Bakar kerana beliau ialah antara orang mula-mula memeluk agama Islam. Dalam peristiwa Isra’ dan Mikraj, Abu Bakar telah membuktikan keimanannya yang mutlak kepada Rasulullah s.a.w ketika orang Quraisyh mempersendakan dan mendustai baginda, Abu Bakar muncul membenar dan mempercayai segala yang diceritakan baginda. Oleh kerana itu, beliau telah diberi julukan al-Siddiq oleh baginda. (Haji Dusuki:1974)

Setelah kewafatan Rasulullah s.a.w, Abu Bakar dipilih secara sebulat suara setelah terjadi diskusi dan perdebatan antara kaum Ansar dan Muhajirin dalam pertemuan di Saqifah Bani Sa’dah (balai pertemuan di Madinah). Pertemuan itu dinamakan sebagai “muktamar politik” yang di dalamnya terjadi diskusi yang sesuai dengan cara-cara moden. Abu Bakar sanggup berdiri sendiri dalam menghadapi serba kemungkinan dan hasilnya dia beroleh kemenangan yang gemilang.( Dr. Ahmad Shalaby:1970)

2.1 Menyelamatkan Negara Islam

Perkembangan Agama Islam yang sebenarnya adalah bermula selepas perjanjian damai Hudaibiah pada tahun keenam Hijrah. Orang Arab dari segenap penjuru Semenanjung Tanah Arab pula datang Mengadap Rasulullah dan menyatakan keislaman mereka sesudah Hawazin dan Saqif dapat dikalahkan pada tahun kesembilan Hijrah. Sebelum ini Agama Islam hanya diterima oleh penduduk Madinah dan penduduk di kampung sekitarnya sahaja. Oleh yang demikian nilai keislaman mereka belumlah meresap ke hati kecil mereka. Dengan itu tidak hairanlah mengapa sebaik sahaja Rasulullah Wafat pada 12 haribulan Rabiul-Awal tahun Hijrah yang kesebelas, masyarakat Islam menghadapi krisis yang hebat (Haji Dusuki:1974). Dari kalangan mereka lahir tiga golongan pemberontak, baik yang terdapat di sekitar Madinah mahupun yang tinggal berjauhan darinya. Golongan pertama ialah golongan murtad, golongan kedua ialah golongan pengikut-pemgikut nabi palsu manakala golongan ketiga ialah golongan yang enggan membayar zakat. (Abd. Rahman:1981)

2.1.1 Golongan Murtad

Golongan ini ialah mereka yang baru memeluk Islam yang mana ajaran-ajaran Islam belum menyerap di hati mereka, ataupun mereka sendiri belum benar-benar memahaminya atau kerana tidak mahu melibatkan diri dalam peperangan melawan tentera Islam atau kerana mahukan kemegahan dan tamak kepada harta rampasan perang atau sesuatu kepentingan yang lain, sedangkan ajaran Islam atau pergaulan mereka dengan orang Islam belum lagi meninggalkan kesan dan perubahan kepada jiwa mereka. Mereka masih belum dapat menerima konsep anti sukuism di mana setiap orang mesti berada dalam satu keluarga besar yang dikenali dengan nama keluarga Islam. Mereka juga tidak mahu tunduk di bawah kekuasaan suku Quraisyh yang kelihatan mempertahan- kan kuasanya selepas wafat Rasulullah. Dengan wafatnya Rasulullah kebanyakan mereka telah murtad dari agama Islam (Abd. Rahman 11981).Berkenaan dengan orang-orang murtad ini ada disebut oleh Allah S.W.T dalam surah al-Maidah 5:54:

Maksudnya:

“Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari agamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan pula suatu kaum yang ia kasihkan mereka dan mereka juga kasih kepadanya, (kaum) yang bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah dan mereka pula tidak takut kepada celaan orang-orang yang mencela. Yang demikian itu adalam limpah kurnia Allah Maha Luas Limpah Kurnia-Nya lagi Meliputi Pengetahuan-Nya”.

2.1.2 Golongan Pengikut-pengikut Nabi Palsu

Orang murtad yang terus keluar dari Agama Islam pula ada yang menjadi pengikut-pengikut kepada nabi palsu seperti Musailamah Al-Kazzab, Tulaihah Al-Asadi dan Aswad yang masing-masing mendakwa mereka menjadi Nabi. Ada pula yang keluar menjadi pengikut orang Munafik yang berpura-pura menyatakan keislaman mereka kepada Rasulullah, tetapi hati mereka sebenarnya masih belum menerima Islam. Semuanya mengaku mendapat wahyu yang mana banyak pula pendukung-pendukungnya. Ini bukanlah kerana mereka mempercayai kebenarannya, tetapi semata-mata kerana sifat ‘Asabiyyah’ yang masih tebal di kalangan mereka. Sikap yang mana tidak mahu jabatan kenabian dibolot oleh keturunan Bani Hasyim sahaja. (Abd.Rahman:1981)

Walaupun ramai di antara pengikut nabi palsu itu mengetahui kepalsuan dan kesesatan nabi-nabinya, tetapi mereka mendukung dan mengagungkan nabi-nabi tersebut hanyalah agar mereka menjadi kuat untuk menghadapi Quraisyh yang dianggap hendak memonopoli kekuasaan Tanah Arab atau dengan maksud usaha mereka melawan Islam mendapat sokongan dan dokongan dari nabi-nabi palsu. (Abd.Rahman:1981)

2.1.3 Golongan yang Enggan Membayar Zakat

Golongan ini pada zaman Rasulullah telah pun membayar zakat. Tetapi apabila tiba kepada zaman Khalifah Abu Bakar mereka enggan membayarnya kerana kedegilan mereka atau kerana kesalahan mereka mentafsirkan atau memahami sebahagian ayat al-Quran atau kerana anggapan mereka bahawa zakat itu ialah cukai yang dipungut oleh Rasulullah untuk membersih dan menghapuskan kesalahan dosa pembayar zakat dan hanya Rasulullah sahaja yang berhak memungut atau menerima zakat, seperti yang kononnya terdapat dalam surah Al-Taubah ayat 103. Sahabat-sahabat Rasulullah tidak berkuasa untuk membersih dan menghapus dosa-dosa itu. Kebanyakan orang yang enggan membayar zakat ini adalah dari negeri Yaman, Yamamah dan Oman. (Abd.Rahman:1981)

2.1.4 Membentuk Pasukan Tentera

Gerakan orang murtad ini merupakan satu cabaran yang besar bagi Abu Bakar yang baru sahaja dilantik sebagai khalifah. Jika terus dibiarkan nescaya masyarakat Islam akan menghadapi keruntuhan. Mereka telah muncul di merata tempat. Di Taif, kabilah Hawazin telah melakukan kacau bilau. Pegawai-pegawai kerajaan telah dibunuh dan dihalau keluar. Mereka merancang untuk menawan Kota Madinah. Dalam keadaan sulit yang memuncak ini Khalifah Abu Bakar dengan kebesaran jiwa dan ketabahan hatinya secara tegas mengambil keputusan memerangi semua golongan orang murtad yang dianggap telah menyeleweng dari kebenaran sehingga semuanya kembali kepada kebenaran atau syahid dalam memperjuangkan kemuliaan agama Allah. Ketegasan ini telah disambut dan didokong pula sebilangan besar orang Islam. Pada mulanya Sayyidina Umar tidak bersetuju dengan pendapat Khalifah Abu Bakar hendak memerangai orang murtad yang enggan membayar zakat, berpandukan Hadis Rasulullah sendiri yang menerangkan:

“Aku diperintahkan supaya memerangi manusia hingga mereka mengaku bahawa tidak ada Tuhan yang sebenar melainkan Allah SWT, sesiapa yang mengaku demikian maka terpeliharalah dirinya dan hartanya daripada diperangi, dan kira bicaranya terserah kepada Allah”.

Walau bagaimanapun Sayyidina Umar pada akhirnya bersetuju dengan berpendapat Khalifah Abu Bakar yang menegaskan bahawa zakat itu bukanlah merupakan cukai di zaman Rasulullah, tetapi adalah satu kewajipan yang dikira salah satu daripada rukun iman. Zakat juga merupakan salah satu daripada sumber kewangan Negara Islam yang tidak boleh diabaikan. Apalagi gerakan orang murtad itu mengancam kedudukan Negara dan Agama Islam yang mesti ditentang. Nabi-nabi palsu pula membohongi orang ramai dan menaburkan dakyah-dakyah jahat.

Oleh yang demikian Khalifah Abu Bakar pun menulis surat kepada ketua-ketua penderhaka dan menyeru mereka supaya kembali mematuhi pemerintahan Islam di Madinah. Seruan Abu Bakar itu diterima oleh setengah golongan dan diperkecilkan oleh sebilangan besar orang murtad. Akhirnya beliau pun membentuk sebelas pasukan tentera yang masing-masing dipimpin oleh pahlawan Islam yang handal.antara mereka ialah Khalid bin Al-Walid, Akrimah bin Hisyam, Syurahbil bin Hasanah, Amru Ibnul-As, Muhajir bin Umayyah dan lainp-lain lagi. Setelah berperang dengan hebatnya, akhirnya gerakan orang murtad ini dapat dihancurkan, nabi-nabi palsu dapat dibunuh dan kebanyakan dari pengikut-pengikutnya kembali semula kapada Agama Islam. Tentera Islam pun kembali semula kepada Agama Islam. Tentera Islam kembali ke Kota Madinah setelah ramai antara mereka gugur syahid. Dengan demikian bulatlah penyatuan Islam di Tanah Arab dan bertambah kuatlah pegangan mereka kepada Agama Islam. Kejayaan ini menyebabkan ahli sejarah menyatakan bahawa Abu Bakar adalah penyelamat utama negara Islam. (Haji Dusuki:1974)

2.2 Pengumpulan Al-Quran

Al-Quran telah pun ditulis sejak zaman Rasulullah lagi tetapi tidak terkumpul dan tersusun didalam satu mashaf, bahkan bertaburan dikulit-kulit, tulang dan pelepah tamar. Sehingga Baginda wafat ia hanya terpelihara di dalam dada beberapa orang penghafaz dan tersimpan di tangan penulis wahyu. Apa yang dilakukan pada zaman Khalifah Abu Bakar ini ialah mengumpulkan naskhah-naskhah yang berselerak itu dan satukan mengikut susunannya seolah-olah segala tulisan Al-Quran yang berselerak itu dikumpul dan diikat dengan benang supaya tidak akan hilang sesuatu darinya. Kerja-kerja ini dilakukan selepas berlakunya beberapa pertempuran dengan orang murtad pada zaman Khalifah Abu Bakar. Ramai penghafaz Al-Quran gugur syahid. Dalam peperangan di Yamamah pada tahun 12 Hijrah dengan golongan murtad pengikut Musailamah Al-Kazzab sahaja dianggarkan tidak kurang dari tujuh puluh orang. Hal ini menimbulkan kebimbangan Sayyidina Umar bin Al-Khattab, sekiranya peristiwa seperti ini berlaku lagi maka harus hilanglah Al-Quran. Beliau pun pergi menemui Sayyidina Abu Bakar mencadangkan supaya dikumpulkan Al-Quran. (Haji Dusuki:1974)

Timbul dari kebimbangan inilah maka Khalifah Abu Bakar mengambil keputusan untuk mengumpulkan Al-Quran yang tidak tersusun itu kemudian mengesahkan kebenarannya dan dihimpunkan dalam satu mashaf. Terbukti janji Allah SWT bahawa al-Quran akan sentiasa terpelihara sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Hijr 15:9 yang bermaksud:

“Sesungguhnya kamilah yang menurunkan al-Quran dan kamilah yang memelihara dam menjaganya”.

Oleh itu, satu badan ditubuhkan untuk tujuan tersebut yang mana ia terdiri daripada penghafal-penghafal al-Quran. Di antara langkah-langkah yang diambil ialah:

i. Badan ini telah mengiklankan di Madinah tentang sesiapa yang ada menyimpan tulisan ayat-ayat al-Quran henddaklah mengemukakan kepada badan ini. Di antara mereka yang bertugas dalam badan ini ialah Zaid bin Thabit dan Ubai bin Kaab.
ii. Apabila mengemukakan ayat tersebut, hendaklah disahkan oleh dua orang saksi bahawa tulisan pada zaman Rasulullah saw dan diimlakkan di hadapan baginda. Apabila syarat tersebut dipenuhi barulah ia diterima.
iii. Mashaf ini telah ditulis dan disalin daripada apa yang ditulis pada zaman Rasulullah saw. Baris dan titik tidak diletakkan supaya mereka yang membacanya perlu ada orang (guru) yang pandai membacanya.

Mashaf yang ditulis pada zaman Abu Bakar ini dijaga dengan baik. Setiap negeri
yang baru dibuka diperdengarkan al-Quran kerana al-Quran adalah mauduk dakwah yang pertama. Para qari akan mengajar cara membacanya dan hukum yang ada di dalamnya. Di antara ulama’ yang terkenal untuk tujuan tersebut ialah Ibn Abbas, Ibn Umar, Ibn Masud dan sebagainya. Mashaf yang dihantar kepada orang ramai atau ke kawasan yang baru dibuka oleh orang-orang Islam ini tidak mempunyai titik dan baris. Ini bertujuan supaya orang ramai tidak boleh membacanya kecuali dengan qari supaya bacaan sentiasa mutawatir. Ini kerana musuh-musuh Islam telah cuba melakukan penyelewengan terhadap al-Quran. Apabila berguru dengan orang yang menghafal, maka ia tidak akan berubah. (Ahmad Redzuwan:2001)

Bagi merealisasikannya, para sahabat telah menuju ke wilayah-wilayah Islam yang baru dibuka seperti Iraq untuk memperdengarkan al-Quran dan mempelajari isi kandungannya. Hal yang sama juga pernah dilakukan oleh Rasulullah saw dengan menghantar Musab bin Umair ke madinah. (Ahmad Redzuwan:2001)


Al-Quran diajar kepada orang Islam kerana pentingnya al-Quran dalam melakukan ibadah khusus. Setiap Muslim perlu menghafal beberapa ayat al-Quran untuk menunaikan sembahyang. Al-Quran juga dijadikan rujukan utama kerana kandungannya menyatakan dengan jelas tentang hukum-hukum Islam. Oleh kerana itulah para sahabat menyeru orang-orang Islam menghafal dan memahaminya. Zat al-Quran merupakan penyeruan yang kuat terhadap Islam kerana di dalamnya mengandungi kisah-kisah yang perlu diketahui dan amat sesuai dijadikan sebagai bahan dakwah. (Ahmad Redzuwan:2001)

2.3 Menggerak Tentera Usamah

Di samping usaha pembentukan tentera untuk menghancurkan gerakan orang murtad, Khalifah Abu Bakar juga telah menggerakkan pasukan tentera yang dibentuk oleh Rasulullah sendiri sebelum wafatnya. Pasukan ini dipimpin oleh Usamah bin Zaid dengan tujuan untuk memerangi penduduk Ghassan yang telah membunuh utusan Rasulullah ke sana. Belum pun sempat tentera itu bergerak ke medan perang tiba-tiba baginda pun wafat. (Haji Dusuki:1974)

Apabila Sayyidina Abu Bakar dilantik menjadi khalifah, beliau pun menggerakkan pasukan tentera itu ke medan perang. Walaupun ramai diantara sahabat membantah dengan alasan di masa itu Usamah terlalu muda untuk memimpin tentera, hanya 18 tahun sahaja tetapi Abu Bakar menegaskan katanya: “Aku tidak akam merombakkan bendera yang telah diikat oleh Rasulullah. Baginda lebih mengetahui siapa yang layak dan siapa yang tidak”. (Haji Dusuki:1974)

Setelah berperang selama 40 hari, Usamah pulang ke Madinah dengan membawa kemenangan yang cemerlang. Kemenangan ini memberi kesan yang besar terutamanya bagi orang yang menganggap bahawa Islam telah lemah selepas Rasulullah wafat. (Haji Dusuki:1974)


3. KHALIFAH UMAR BIN AL-KHATTAB (13-23H / 634-644M)

Nama penuhnya Umar Ibnu Al-Khattab bin Naufal dari keturunan Bani ‘Idy, iaitu salah satu keturunan kaum Quraisyh yang masyhur dan mempunyai kedudukan yang baik di kalangan masyarakat Arab Jahiliah. Sayyidina Umar memeluk Islam pada tahun keenanam selepas kerasulan nabi. Beliau kemudiannya memberi sumbangan yang besar kepada perkembangan agama Islam. (Haji Dusuki:1974)

Ketika Khalifah Abu Bakar sedang sakit dan merasai ajalnya hampir tiba, beliau memanggil sahabat-sahabatnya dan meninjau fikiran mereka untuk mencari tokoh Islam yang patut menjadi Khalifah apabila beliau kembali ke rahmatullah. Abu Bakar mencadangkan nama Umar bin Al-Khattab di calonkan untuk memegang jawatan itu. Cadangan ini mendapat persetujuan daripada sahabat-sahabat dan orang ramai. (Haji Dusuki:1974)

Berikutan persetujuan itu maka Abu Bakar pun memerintah Sayyidina Othman menulis surat perjanjian rasmi tentang perlantikan Sayyidina Umar. Selepas memerintah Negara Islam selama sepuluh tahun enam bulan dan empat hari, beliau pun wafat pada malam Rabu diakhir bulan Zulhijah tahun 23 Hijrah, waktu berumur 63 tahun. Beliau mati kerana ditikam oleh Abu Lukluah bangsa Parsi yang beragama Majusi. Beliau dimakamkan berhampiran dengan makam Rasulullah dan Abu Bakar di Madinah. (Haji Dusuki:1974)

3.1 Perluasan dan Pengukuhan Kekuasaan Islam

Perluasan dan pengukuhan kekuasaan Islam lebih menonjol di zaman Sayyidina Umar kerana umat Islam telah reda dengan masalah-masalah yang timbul dalam negeriseperti masalah golongan yang enggan membayar zakat, nabi palsu dan perihal murtad. Kesan perluasan kuasa ini, ibu kota Syria iaitu Damaskus telah jatuh ke tangan ke tangan Islam. Setahun kemudian (selepas 635M), setelah tentera Byzantine kalah di pertempuran Yarmuk, seluruh Syria telah jatuh ke tangan kekuasaan Islam. Ekspansi ini diteruskan ke mesir dibawah pimpinan Amr al-Ash dank e Iraq di bawah pimpinan Saad Abi Waqas. Hasilnya, Iskandariah (ibu kota Mesir) telah dapat ditawan pada 641 M. manakala al-Qadisiah iaitu sebuah kota di Hirah, Iraq dapat ditawan pada 637 M. Dari sini serangan dilanjutkan ke ibu kota Persia dan pada tahun tersebut juga al-Madain ditakluki dan tidak berapa lama selepas itu, Moghul pula jatuh ke tangan orang Islam. (Ahmad Redzuwan:2001)

Dengan ini dapat dikatakan bahawa pada masa pemerintahan Sayyidina Umar, keluasan wilayah Islam telah meliputi Jazirah, Arabiah, palestin, Syria, sebahagian wilayah Persia dam Mesir. Oleh kerana wilayah Islam menjadi luas, maka Sayyidina Umar telah mengatur pentadbiran wilayah Islam kepada beberapa bahagian seperti Makkah, Madinah, Syria, Kufah, Palestin dan sebagainya untuk urusan pentadbiran negara. (Ahmad Redzuwan:2001)

3.2 Dasar Pentadbiran

Untuk melicinkan pentadbiran wilayah, Umar telah melaksanakan dasar disentralisasi dengan membahagikan kepada lapan wilayah, iaitu Mekkah, Madinah, Sham, Basrah, Syria ,Kufah dan sebagainya yang masing-masing mempunyai seorang gabenor, seperti Amru Ibnul Ash, Muawiyah bin Abu Sufyan, Abu Musa Al-Shaari, Al-Mughirah bin Abu Shu’bah, Abu Aidah Al-Jarrah dan lain-lainnya. Pada setiap wilayah itu dilantik pegawai-pegawai untuk mengetuai jabatan-jabatan tentera dan polis, cukai, kadi dan sebagainya. Walau bagaimanapun sebelum gabenor-gabenor tersebut dilantik, mereka haruslah mengisyhtiharkan harta benda masing-masing demi mengelakkan amalan rasuah. Mereka juga di syaratkan supaya tidak menunggang kuda Turki atau memakai pakaian yang mahal. Dan pada tiap-tiap musim Haji dikehendaki berada di Makkah untuk mendengar pengaduan rakyat. (Abd.Rahman:1981)

Suatu langkah Umar yang nampaknya telah mendahului sejarah ialah apabila beliau menjalankan sistem pentadbiran yang dalam istilah perundangan moden dipanggil prinsip ‘perasingan kuasa’ (separation of power). Meskipun caranya agak berbeza dengan fahaman dan amalan masa kini, tetapi Umar telah berjaya melaksanakannya apabila para kadi diberi kebebasan untuk menjalan tugas-tugasnya tanpa takutkan kuasa-kuasa politik. Pernah terjadi seorang Muslim meminta fatwa dari hakim Ali bin Abi Talib, sedangkan Umar tidak sependapat dengan keputusan Ali tersebut. Namun Umar tidaklah bertindak agar keputusannya yang dipakai, apa lagi untuk memecat hakim yang bertentangan pendapat dengannya. (Abd.Rahman:1981)

Dari segi ekonomi, Umar telah menubuhkan Baitul-Mal (perbendaharaan). Sumber utama kewangan Negara tentunya dari kutipan zakat ayau ‘Usyr (zakat tanaman) iaitu 1/10 jika menggunakan air hujan atau 1/20 jika menggunakan tenaga. Terhadap orang-orang bukan bukan Islam pula, mereka dikenakan cukai Kharaj (cukai tanah) serta cukai Jizyah iaitu cukai kepala kerana tinggal di dalam Negara Islam. Selain dari itu, Baitul-Mal juga memperolehi hartanya dari al-Fai’, iaitu harta-harta rampasan musuh tanpa melalui peperangan dan juga Ghanimah iaitu harta-harta rampasan perang.

Dengan adanya sumber-sunber kewangan seperti ini dapatlah Umar melaksanakan program-program sosialnya seperti memberi elaun-elaun khas kepada rakyat. Dan dalam hal ini, Umar mengutamakan keluarga Nabi (ahlul-bait), seperti isteri-isteri nabi serta anak-anak cucunya dan lain-lain. Kepada mereka diberikan 12 000 dirham setahun, sedangkan kepada kaum Muhajirin dan Ansar di antara 4000-5000 dirham setahun, golongan tentera biasanya 500-6000 dirham dan golongan kanak-kanak serta perempuan mendapat200-400 dirham setahun. Dan kepada mereka yang tidak berdaya diberi imbuhan khas dan perlindungan, meskipun mereka adalah orang yahudi, dengan wujudnya sistem pembahagian sara hidup tersebut, Umar seolah-olah telah berjaya mengasaskan sebuah Negara kebajikan (welfare state) seperti yang pernah diamalkan oleh setengah Negara Barat masa kini. (Abd.Rahman:1981)

Dalam bidang pentadbiran tanah pula, Umar telah dapat menghapuskan pemerasan tuan-tuan tanah (landlords) terhadap kaum petani. Umar juga menggalakkan pembukaan tanah-tanah baru dengan memberikan hak milik kepada pengusahanya.

Tentang soal ketenteraan, Umar telah membahagikan tentera Islam kepada dua bahagian, mereka yang bertugas sepenuh masa (standing army) dan orang-orang awm yang dapat dikerahkan pada masa-masa tertentu (volunteer). Sebagai tentera sepenuh masa mereka mendapat gaji tetap serta kemudahan-kemudahan sampingan lain, tetapi mereka tidak diberikan habuan tanah demi untuk mengelakkan mereka menetap di sesuatu tempat. Hanya tentera ‘volunteer’ sahaja mendapat habuan tanah.

Dari segi pendidikan, pusat-pusat pengajian Islam telah didirikan di kota-kota Basrah, Kufah, Fustat dan sebagainya,. Guru-guru agama telah dihantar ke pusat-pusat ini, sedangkan iman-iman di adakan di masjid-masjid. Dan buat pertama kalinya Umar mengadakan kalendar (taqwim) Islam sendiri yang bermula dari peristiwa Hijrah Nabi ke Madinah. (Abd.Rahman:1981)

Dengan adanya perubahan-perubahan pentadbiran ini serta sumbangan-sumbangan lain yan tidak disebutkan, maka tidak hairanlah jika Umar al-Khattab digelar ‘Amirul Mukminin’ atau Raja orang-orang yang beriman. Bahkan di kalangan rakyat, istilah ‘Keadilan’ itu sinonim dengan nama Umar sendiri. (Abd.Rahman:1981)

4. KHALIFAH UTHMAN BIN AFFAN (23-35H / 644-656M)

Nama penuhnya Uthman bin Affan bin Abu Al-As bin Umayyah bin Abdu Syams bin Abdu Manaf bin Qusai. Dilahirkan selepas lima tahun kelahiran nabi. Memeluk agama Islam di Makkah menerusi Sayyidina Abu Bakar. Sebeum itu beliau terkenal sebagai salah seorang hartawan Quraisyh. Ketika mula menerima agama Islam kaum keluarganya dari Bani Umayyah mengutuk keras. Bapa saudaranya Hakam Ibnu Abu Al-As telah membelenggunya beberapa hari, tetapi akhirnya dilepas juga dengan cara memisah dan memulaukannya dari keturunan Bani Umayyah. (Haji Dusuki:1974)

Sayyidina Uthman mempunyai catitan sejarah yang menakjubkan tentang pengorbanannya kepada Agama Islam. Beliau terkenal sebagai seorang dermawan yang banyak mendermakan hartanya untuk kepentingan siaran Agama Islam. Dalam peperangan Tabuk waktu suasana begitu genting beliau telah mendermakan sebanyak 950 ekor kuda dan 1000 dinar wang kepada tentera Islam yang berjuang dalam peperangan itu. Beliau juga menyertai semua peperangan bersama nabi kecuali perang Badar kerana isterinya sakit. Dalam peristiwa Hudaibiah beliau telah menjalankan tugas sebagai wakil peribadi Rasulullah untuk berunding dengan orang Quraisyh yang menghalang Rasulullah dan pengikut-pengikutnya masuk ke Makkah yang bertujuan hendak mengerjakan umrah. Sayyidina Uthman juga menjadi jurutulis wahyu nabi, beliau adalah antara sahabat nabi yang diberi jaminan syurga oleh Rasulullah. (Haji Dusuki:1974)

4.1 Jasa-Jasa Usman bin Affan

Seperti juga khalifah-khalifah sebelumnya, Uthman juga mempunyai sejarah dakwahnya yang tersendiri dalam sistem pemerintahan beliau. Namun antara jasa-jasa yang telah dibuat oleh beliau ialah menumpaskan gerakan pemberontakan wilayah-wilayah yang telah ditakluki di zaman Umar Al-Khattab, seperti Khurasan, Iskandariah, Armenia dan Azerbaijan. (Abd.Rahman:1981)

Uthman juga telah meneruskan gerakan penaklukan dan perkembangan Islam. Di zamannya tertakluklah daerah-daerah Jurjan, Talkan dan Balkh, malah sampai dapat melampaui Sungai Jihun (Amru Daria). Demikian juga pulau-pulau Cyprus dan Rhodes. (Abd.Rahman:1981)

Selain daripada itu, Uthman juga telah menyalin semula Al-Quran menurut Dialek yang betul, ini berlaku kerana di zaman pemerintahan Uthman sempadan Islam telah meluas. Ramai orang Islam telah berpindah ke negeri-negeri yang baru dibuka menyebabkan bacaan Al-Quran telah berubah dari satu tempat ke tempat yang lain mengikut cara bacaan masing-masing. Keadaan ini menimbulkan keraguan Khalifah Uthman sendiri tentang bacaannya. Apabila dibiarkan berpanjangan maka tentu dikhuatiri adanya perkara-perkara lain yang dicampur-aduk ke dalamnya sepertimana yang telah berlaku pada kitab Taurat dan Injil. (Abd.Rahman:1981)

Khalifah Uthman menyedari soal ini lantas meminta Mashaf yang ada ditangan Hafsah dan memerintahkan Zaid bin Thabit, Abdullah bin Al-Zubir, Said bin Al-As dan Abdul Rahman bin Haris supaya membukukannya. Mereka ini mematuhi perintah itu dengan cara menyalin semula berpandukan kepada bacaan-bacaan dari pembaca-pembaca yang terkenal. Sekiranya terdapat beberapa perselisihan bacaan maka mereka tulis mengikut bacaan Quraisyh, kerana Al-Quran turun dengan bacaan Quraisyh. Setelah sempurna tugas-tugas tersebut Khalifah Uthman pun mengembalikan Mashaf asal kepada Sayyidah Hafsah dam memerintahkan supaya dibakar sebarang Mashaf yang berlainan dari apa yang telah dibetulkan oleh Zaid bin Thabit dan rakan-rakannya. Kerja-kerja ini berlaku pada tahun ke 25 Hijrah. Sebanyak enam salinan telah dibuat dan masing-masing dihantar ke Mekkah, Basrah, Kufah dan Damsyik, dua naskhah lagi disimpan di Madinah. Semua orang Islam adalah diperintah supaya membaca Al-Quran mengikut cara yang telah ditentukan itu. Dengan terselamatlah Al-Quran daripada keraguan yang mungkin timbul dan dari campur-aduk yang mungkin cuba dimasukkan oleh anasir-anasir jahat yang memusuhi Islam. (Abd.Rahman:1981)

5. KHALIFAH ALI BIN ABU TALIB (35-40H / 656-661M)

Nama penuhnya ialah Ali bin Abu Talib bin Abdul Muttalib bin Hasyim bin Abdul Manaf. Dilahirkan di Mekkah kira-kira 10 tahun sebelum Nabi Muhammad saw diutuskan menjadi Rasul. Beliau ialah saudara sepupu dan menantu bagi Rasulullah. Isterinya Siti Fatimah Al-Zahra’ ialah puteri Baginda yang tunggal yang dapat melahirkan keturunan Rasulullah. Sayyidina Ali telah memeluk Islam waktu beliau kanak-kanak lagi. Beliau adalah antara penyokong Rasulullah yang kuat sekali dan menjadi jurutulis Perjanjian Hudaibiah yang ditandatangani pada tahun keenam Hijrah. Pada malam Rasulullah diperintahkan pindah ke Madinah, beliau tidur di pembaringan Baginda untuk mengelakkan daripada orang Quraisyh yang hendak membunuhnya. Dengan peristiwa ini nyata sekali bagaimana Sayyidina Ali sanggup mengorbankan diri demi untuk menjaga keselamatan diri Rasulullah. (Haji Dusuki:1974)
Sayyidina Ali merupakan seorang yang gagah berani, handal bermain pedang dan petah berbicara. Pelantikannya sebagai Khalifah yang keempat dalam siri pemerintahan kerajaan Khukafa’ Al-Rasyidin berlaku apabila Khalifah Usman bin Affan dibunuh. (Haji Dusuki:1974)

5. Peperangan Jamal

Ketidakpuasan hati Abdullah b. Zubair terhadap Ali kerana tugas sebagai khalifah sepatutnya dimiliki oleh beliau, beliau memulakan permusuhannya dengan Ali dengan alasan bahawa Ali adalah orang yang bertanggungjawab keatas kematian Khalifah Uthman dan beliau ingin menuntut bela atas kematiannya, padahal Ibn Zubair mempunyai kepentingannya yang tersendiri yaitu ingin merebut gelaran khalifah.

Aishah (r.a) bersama menentang Ali kerana desakan dan pujuk rayu daripada Abdullah b. Zubair yang merupakan anak angkatnya, Az-Zubair ayah kepada Abdullah juga turut menyertai untuk memerangi Ali atas sebab dorongan daripada anaknya. Banyak nyawa yang terkorban didalam peperangan tersebut dari kalangan pengikut-pengikut disebabkan terlalu mengikut cita-cita Abdullah b. Zubair untuk menjadi khalifah. Ali beserta kumpulan pendakwah yang disertai bala tentera perang yang banyak datang dengan tujuan untuk berdakwah semula kepada Ibn Az-Zubair, Aishah dan Az-Zubair supaya kembali ke pangkal jalan dan memperingatkan mereka semua akan bai’at dan sumpah setia yang mereka berikan dahulu, nasihat dan dakwah Ali pada permulaannya diterima oleh mereka dan diadakan perundingan yang hampir berhasil untuk kaum muslimin akan terhindar daripada berlakunya peperangan, tetapi pengikut Abdullah b. Saba’ telah bertindak melulu dan menyebabkan peperangan tercetus. Peperangan berlaku amat sengit sehingga Az-Zubair melarikan diri dari peperangan tersebut bukan disebabkan takut tetapi kerana kesangsiannya akan apa yang dilakukannya terhadap Ali sehinggakan beliau dibunuh oleh Amru b. Jurmuz ketika beliau berehat untuk tidur dibawah pokok. Sementara Abdullah b. Zubair telah ditetak oleh Al-Astar panglima tentera Ali, ribuan manusia gugur dalam mempertahankan dan melindungi Aishah Ummi Mu’minin dan unta yang ditungganginyaKANG K.

Akhirnya, unta yang ditunggangi Aishah telah terbunuh, maka berakhirlah peperangan dengan kemenangan di pihak Ali, tetapi Aishah tidak diganggunya bahkan dihormati dan dikembalikan ke Makkah dengan penuh kehormatan dan kemuliaan kerana Ali tahu akan keadaan Aishah yang termakan dengan desakan Abdullah b. Zubair. Ali telah mendakwah kembali pengikut-pengikut Aishah yang tinggal supaya kembali ke pangkal jalan dan meletakkan sumpah dan taat setianya terhadap Islam.

5.2 Peperangan Siffin

Selepas kemenangan Syaidina Ali di Basrah, beliau mengharapkan Muawiyah akan mengakui dan membaiah kepadanya. Beliau mengutus surat kepada Muawiyah untuk menggesa Muawiyah membuat demikian, tetapi Muawiyah enggan berbuat demikian melainkan Ali menyerahkan pembunuh Uthman dan mengekalkan beliau sebagai gabenor Damsyik Syria. Muawiyah mengutuskan satu surat kepada Ali dan menuduh beliau terlibat dalam pembunuhan Uthman,dan jika Ali benar-benar tidak terlibat, beliau mesti menghantar orang yang membunuh Uthman kepadanya kerana beliau adalah waris Uthman. Apabila surat ini dibaca dimasjid Kufah, orang ramai bangun dan mengatakan mereka bertanggunjawab atas pemunuhan itu. dalam Susana itu, Ali tidak dapat membuat apa-apa kecuali menolak permintaan Muawiyah dengan alasan beliau tidak dapat mengenal pasti siapa yang terlibat secara langsung dalam pembunuhan itu.

Melihat keadan itu, Ali telah memghantar satu pasukan tentera untuk menyerang Muawiyah. Untuk memghadapi tentera Ali,beliau menjemput tokoh-tokoh seperti Amru al-As menyebelahinya. Pada akhir tahun 36H, meletus peperangan Siffin. dalam peperangan itu, ramai pengikut Muawiyah telah terkorban. melihat keadan itu, Amru al-As mencadangkan supaya pihak Muawiyah mengangkat al-Quran di hujung tombak sebagai tanda mahu berdamai, Ali menerima pendamaian itu dan mereka bersetuju untuk mencari persepakatan bersama dengan mengadakan Majlis Tahkim. Ali diwakili Abu Musa al-Syari manakala Muawiyah diwakili Amru al As. Majlis Tahkim berakhir dengan melantik Muawiyah sebagai pemimpin. (Dr. Ahmad Shalaby:1970)

Selepas majlis itu, Ali menetap di Kufah. Pada 17 Ramadhan tahun 40H, ketika beliau memasuki masjid diwaktu subuh, beliau ditetak di bahagian kepala oleh Abd Rahman b. Muljam kerana menuntut bela atas kematian rakan-rakan Khawarijnya di al-Nahrawan. beliau dimakamkan di satu bahagian yang dirahsiakan kerana bimbang pengikut Khawarij membongkar kubur beliau. pada Zaman Khalifah Harun al-Ryasid kubur Ali diisytiharkan di satu daerah di Kufah. sebenarnya rancangan itu bertujuan membunuh Ali, Muawiyah dan Amru al-As. tetapi Muawiyah dan Amru terselamat dari peristiwa pembunuhan itu. (Dr. Ahmad Shalaby:1970)

6. KESIMPULAN
Dengan pembunuhan Khalifah Ali, maka tamatlah riwayat beliau dan berakhirlah satu zaman dalam sejarah Islam yang dikenali dengan zaman Kerajaan Khulafa’ Al-Rasyidin. Peristiwa ini berlaku ketika Sayyidina Ali berumur 63 tahun (24hb Januari 661) dan jenazahnya dimakamkan di Kufah. Keempat-empat Khalifah yang mengendalikan kerajaan yang berkenaan telah memperhambakan diri mereka kepada agama Islam dan orang Islam. Hal ini berbeza dengan pengganti mereka yang lebih tertarik terhadap keselamatan takhtanya. Di sepanjang zaman pemerintahan tiga orang Khalifah yang pertama, Madinah terus menerus merupakan pusat pentadbiran, tetapi Khalifah Ali memindahkan ibukota itu ke Kufah di negeri Iraq sehingga beliau dibunuh di sana

0 comments: