:::PAUTAN:::

Photobucket

:::HADITH BUAT PANDUAN:::

Wednesday, February 27, 2008

KEPERLUAN DAN TANGGUNGJAWAB BERDAKWAH


BAB 1 : PENDAHULUAN


1.1 : DEFINISI DAKWAH
Kata dakwah berasal dari bahasa Arab yang bererti ajakan, seruan, panggilan dan undangan. Dalam bahasa Arab, dakwah disebut al-Da’wah. Dalam bahasa Inggeris pula perkataan dakwah dikenali sebagai call and invitation.[1]

1.2 : DEFINISI DAKWAH SECARA UMUM
Definisi dakwah secara umum ialah suatu ilmu pengetahuan yang berisi cara-cara dan tuntutan, bagaimana seharusnya menarik perhatian manusia supaya menganut, menyetujui dan melaksanakan suatu idiologi, pendapat-pendapat, pekerjaan-pekerjaan tertentu dan lain-lain.

1.3 : DEFINISI DAKWAH MENURUT ISLAM
Definisi dakwah menurut Islam ialah mengajak manusia dengan cara yang bijaksana kepada jalan yang benar dan sesui dengan perintah Allah S.W.T untuk kemaslahatan dan kebahagiaan mereka di dunia akhirat.[2]


BAB 2 : PEMBAHAGIAN DAKWAH

2.1 : Dakwah kepada bukan Islam

Penyebaran agama Islam kepada seluruh manusia wajib dilakukan oleh semua kaum muslimin kerana mereka ialah sebaik-baik umat yang dipilih untuk menyeru berbuat kebajikan dan mencegah kejahatan. Tugas ini ditetapkan kepada orang Islam yang dapat menjalankan tugas dengan sempurna dan mengerti tanggungjawab yang dihadapi.

2.2. : Dakwah kepada semua muslim

Dakwah kepada sesama kaum muslimin ialah dalam bentuk nasihat menasihati supaya berbuat kebajikan dan mencegah daripada melakukan perkara mungkar. Tugas ini diberikan kepada orang Islam yang mengerti tentang selok-belok syariat agama Islam seperti firman Allah (surah Al-Taubah :122) :

Maksudnya :
Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu Yang dituntut di Dalam ugama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; Mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).



2.3 : Dakwah umum

Seruan yang ditugaskan kepada kaum muslimin dengan cara inzar dan menasihati seseorang itu supaya melakukan kebaikan dan menjauhi perkara yang mungkar. Apabila seseorang menasihatinya untuk berbuat kebajikan dan menunjukkan dengan cara yang lembut dan perlahan–lahan maka dakwah tersebut akan berjaya dan tidak sia-sia seruannya. Firman Allah (surah al-‘Ashar : 1-3) :

Maksudnya :
Demi Masa!. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.[3]


BAB 3 : KEPERLUAN BERDAKWAH

Manusia dijadikan Allah dengan sebaik-baik kejadian, dikurniakan akal fikiran. Dengan akal ia boleh membezakan yang baik dan yang buruk, di antara benar dan sesat. Dengan menggunakan akal semata-mata, ia masih belum dapat mengetahui selok-beloknya beberapa perkara yang berhubung kepada dunia, lebih-lebih lagi yang bersangkutan dengan akhirat.

Keperluan berdakwah adalah satu perkara yang amat penting dalam kehidupan manusia. Dalam konteks Islam, berdakwah adalah satu kewajipan bagi setiap orang muslim yang baligh dan mempunyai akal fikiran. Sepertimana firman Allah yang mewajibkan setiap orang islam berdakwah :
Kenapa kita perlu berdakwah?

i) kerana hanya Islam sahaja agama yang diterima di sisi Allah.
Firman Allah Taala :
(surah Ali Imran :19)

Maksudnya:
Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam.


ii)kerana inilah tujuan diutuskan Rasulullah SAW ke alam ini.
firman Allah Taala :
(surah Al-Anbiya’ : 107)

Maksudnya :
dan tiadalah Kami mengutuskan Engkau (Wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.

Dikuatkan dalil dengan hadith :

بلغوا عنى ولو أية...........
Maksudnya :
Sampaikanlah apa yang kamu terima daripadaku, walaupun satu ayat …[4]


Kadang-kadang manusia dapat juga mengetahui kebaikan atau kejahatan, tetapi kebanyakan mereka tidak dapat melawan tekanan nafsu yang sedang menguasai diri mereka. Kadang kala timbul rasa kemarahan dan dengki. Dengan itu hilanglah tujuannya yang asal, sehingga tidak mencapai faedah yang dikehendaki Tuhan. Sesetengah akal pula boleh juga terlepas daripada kongkongan nafsu, tetapi tidak dapat terlepas daripada perselisihan dan perkelahian disebabkan berlainan pendapat dan tabiat yang dipunyai seseorang. [5]


BAB 4 : TANGGUNGJAWAB BERDAKWAH


4.1 : Menurut Abdul Karim Zaydan :

Tanggungjawab berdakwah adalah tanggungjawab untuk mengislamkan seluruh umat manusia terletak di atas bahu orang-orang islam yang baligh dan berakal. Kewajipan ini tidak terkecuali samada dari golongan ulama’ atau dari golongan awam. Walaubagaimanapun, ketentuan untuk membuat huraian tentang isi dakwah, segala hukum-hukum yang berkaitan dengannya adalah terletak ke atas para ulama’ memandangkan keluasan ilmu mereka.

Firman Allah Taala (surah Ali Imran : 104)
Maksudnya :
dan hendaklah ada di antara kamu satu puak Yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat Segala perkara Yang baik, serta melarang daripada Segala Yang salah (buruk dan keji). dan mereka Yang bersifat demikian ialah orang-orang Yang berjaya.


Melalui ayat di atas At-Tobari menjelaskan bahawa perlu wujudnya sekumpulan manusia yang mengajak manusia yang lain kepada Islam dan syariatnya.





4.2 : Ibnu Khatir pula menjelaskan bahawa hendaklah ada dikalangan umat ini satu
golongan yang berusaha dalam menunaikan tugas dakwah, sekaligus ianya merupakan kewajipan atas setiap peribadi umat.

Pendapat ini dikuatkan oleh hadith :

من رأى منكم منكرا فليغيره بيده فان لم يستطع فبلسانه فان لم يستطيع فبقلبه وذلك أضعف الايمان

Maksudnya :
“Barang siapa di antara kamu melihat suatu kemungkaran maka hendaklah dia mencegahnya dengan tangannya (dengan kekuatan atau kekuasaan ), jika dia tidak sanggup demikian (lantaran tidak mempunyai kekuatan dan kekuasaan) maka dengan lidahnya (teguran dan nasihat dengan lisan atau tulisan), jika tidak sanggup demikian (lantaran serba lemah) maka dengan hatinya, dan akhir ini adalah iman yang paling lemah”. H.R. Muslim

Melalui hadith di atas :

Al-Qurtubi menyuruh kepada ma’aruf dan mencegah kepada kemungkaran, dengan menggunakan kekuasaan mesti dilakukan untuk memerintah, dengan lidah oleh ulama’.[6]


Manusia memerlukan pimpinan dan bimbingan yang dapat memandu mereka ke jalan kebenaran. Setelah berlalunya zaman nabi dan rasul, manusia masih memerlukan pimpinan. Di sini terletaknya tanggungjawab umat Islam, betapa pentingnya untuk membimbing masyarakat umum supaya dapat diawasi akidah serta amalan perbuatan dan akhlak ummah.

Seperti dalam firman Allah dalam surah al-Imran, ayat 104 :

Yang bermaksud:
Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang mungkar, merekalah orang-orang yang beruntung.

Dalam surah ini, jelaslah menunjukkan bahawa dakwah Islamiah dituntut oleh agama. Tuntutan ini ditujukan kepada muslimin seluruhnya dan dilaksanakan berperingkat-peringkat.

Dakwah dalam erti kata amar makruf dan nahi mungkar ialah merupakan syarat mutlak untuk kesempurnaan dan keselamatan hidup masyarakat. Menjadi kewajipan dan tanggungjawab pada kaum muslimin seluruhnya sebagai khalifah di muka bumi ini untuk menjalankan dakwah.

Tanggungjawab dan kewajipan menjalankan dakwah bukan hanya terletak pada individu umum masyarakat Islam, tetapi tanggungjawab itu terletak di atas bahu pemerintah. Pemerintah wajib menjalankan, menyusun dan mengatur perjalanan dakwah supaya terjamin perjalanannya.

Mengikut ijmak ulama’ pula menyampaikan dakwah itu adalah wajib, iaitu wajib kifa’I dan wajib ayni. Wajib kifa’I sekiranya telah ada golongan umat islam yang melakukan tugas dakwah, maka gugurlah kewajipan itu kepada golongan yang lain pula. Wajib ayni pula ialah sekiranya seseorang itu mendapati dirinya sahaja yang beragama Islam, maka pada waktu itu kewajipan berdakwah menjadi wajib ayni dan yang demikian hendaklah menunaikan kewajipan berdakwah mengikut kemampuan ilmu dan tenaganya.

Oleh kerana hari ini manusia berlumba-lumba dalam bidang sains dan teknologi, maka wajib bagi kita orang Islam, terutamanya para Ulama’ yang mempelajari cara-cara dakwah Islam, bangun dan membekalkan diri para mubaligh itu dengan persediaan- persediaan yang tertentu dalam menghadapi masyarakat. Ada beberapa syarat bagi mubaligh untuk menunaikan dakwah itu :

i) Mengetahui asal usul agama Islam, sehingga apabila ianya disampaikan kepada orang ramai, mereka akan menerimanya dengan mudah. Mereka memahami dengan baik tentang hakikat Islam.
ii) Bagi pendakwah hendaklah sentiasa cergas dan mempunyai jiwa membangun, sentiasa celik penglihatannya, serta melihat ke depan apa yang berlaku supaya mudah ia dapat menjalankan tugasnya. Apabila melihat sesuatu kelemahan, ia segera bangun untuk menegakkan semula ke jalan yang benar. [7]

5.0 : KESIMPULAN

Sesungguhnya dakwah merupakan satu kerja yang mencabar dan mempunyai banyak halangan dan rintangannya. Sememangnya setiap yang baik itu sentiasa akan dihalangi oleh unsur-unsur yang negatif. Oleh itu setiap pendakwah perlu beristiqamah dalam melakukan kerja-kerja dakwah dan sentiasa memohon kepada Allah S.W.T agar kerja yang mereka lakukan itu sentiasa diredhai oleh-Nya.

Melaksanakan penyiaran agama Allah kepada semua manusia dengan bijaksana adalah penting. Janganlah menggunakan kekerasan dan paksaan, apa lagi mencela dan memaki secara tidak sopan. Sebagaimana yang dilakuan oleh orang yang tidak mengetahui cara-cara menyampaikan dakwah mengikut petunjuk al-Quran.

Berdasarkan al-Quran dan hadith nabi, dari segi tanggungjawab seorang muslim, dakwah Islamiah adalah wajib daripada aspek pengertian dakwah amal makruf dan nahi mungkar, berdakwah adalah wajib bagi individu muslim seluruhnya.


RUJUKAN

Tafsir al-Quran Karim

Dr. Abdul Karim Zaidan, Islam dan dakwah, 2002 :
Prospecta Printers Sdn. Bhd

Drs. Anwar Masy’ari, Studi Tentang Ilmu dakwah, 1981:
PT Bina Ilmu Subaraya

Ghazali Darusalam, Dinamika Ilmu Dakwah Islamiah, 1996 :
Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd

Muhammad Salih samak, Ilmu Pendidikan Islam,1980 :
Dewan Bahasa Dan Pustaka

Ustaz Redzuwan bin Yunus, Nota Kuliah Metodologi Dakwah, 2007/08



[1] Ustaz Redzuwan bin Yunus, Nota Kuliah Metodologi dakwah 07/08
[2] Drs. Anwar Masy’ari, 1981 : 8
[3] Ghazali Darussalam, 1996 : 12
[4] Ustaz Redzuwan bin Harun, Nota Kuliah Metodogi dakwah 07/08
[5] Muhammad Salih Samak, 1980: 220
[6] Ustaz Redzuwan bin Harun, Nota Kuliah Metodologi Dakwah 07/08
[7] Muhammad Salih Samak, 1980: 225

disediakan oleh : Nabilah binti Md Said (A120670)

Esni Farahani binti Esa (A120716)

0 comments: